PENGLIBATAN KOMUNITI TEMPATAN DALAM AKTIVITI TERNAKAN IKAN DALAM SANGKAR SEKITAR KAWASAN TEMERLOH, PAHANG
In: e-BANGI: Journal of Social Sciences and Humanities, Band 19, Heft 2
ISSN: 1823-884X
Aktiviti penternakan ikan dalam sangkar di daerah Temerloh merupakan aktiviti yang berpotensi untuk dimajukan bagi memangkin perkembangan ekonomi komuniti tempatan. Walaupun permintaan terhadap hasil ternakan ikan dalam sangkar ini amat menggalakkan namun aktiviti ternakan ini masih kurang diceburi oleh komuniti tempatan. Oleh itu, kajian ini dilakukan bagi mengenalpasti kesan ternakan ikan dalam sangkar terhadap pembangunan sosioekonomi mereka. Pendekatan kuantitatif melalui pengedaran borang soal selidik dan dapatan data dari Jabatan Perikanan Temerloh dilakukan secara bersemuka dan atas talian atas kekangan pendemik melibatkan seramai 150 orang responden yang terdiri daripada pengusaha penternakan ikan dalam sangkar sekitar kawasan kajian. Kajian menunjukkan aktiviti penternakan ikan dalam sangkar memberi kesan kepada pembangunan ekonomi melalui penyediaan peluang pekerjaan (47%), membantu perkembangan industri (46%) dan menjana pendapatan tambahan komuniti (44%). Dari aspek sosial, aktiviti penternakan ini membantu menambahkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang penternakan (45%). Tambahan lagi, penternakan ikan dalam sangkar juga memudahkan komuniti setempat mendapatkan bekalan ikan segar (38%). Aktiviti penternakan ini juga menyedarkan komuniti tempatan kepentingan teknologi dalam meningkatkan kualiti dan hasil ternakan ikan yang diusahakan iaitu sebanyak 27% responden menyokong penyataan ini. Kajian ini juga menunjukkan 37% pengusaha mengharapkan lebih banyak seminar percuma di sediakan bagi meningkatkan kemahiran dan hasil ternakan mereka. Selain itu, 29% pengusaha juga mengharapkan lebih banyak kemudahan dan infrastruktur berkaitan ternakan ikan dalam sangkar ini diperkenalkan kepada mereka serta 27% pengusaha lebih banyak peruntukan bantuan diberikan kepada mereka dari pihak yang berkenaan. Kajian ini bermanfaat kepada pihak yang berkenaan dalam usaha membantu dan mengalakkan penglibatan komuniti tempatan sekitar Temerloh terhadap aktiviti ternakan ikan dalam sangkar yang dapat memberi kesan yang positif kepada ekonomi dan sosial komuniti tempatan.